Sunday 9 October 2011

Anti dadah


Perjuangan menentang dadah memerlukan penglibatan masyarakat secara total. Kefahaman masyarakat terhadap tanggungjawab mereka amat diperlukan memandangkan usaha menangani gejala dadah tidak harus diletakkan di bahu kerajaan semata-mata. Mereka tidak harus mengambil sikap terus menghukum atau membiarkan mana-mana penagih atau bekas-bekas penagih kerana kerjasama masyarakat amat penting dalam memulihkan golongan penagih untuk kembali kepada kehidupan normal.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan penagih mahupun bekas penagih cenderung bergelumang dengan kancah itu kerana sikap masyarakat yang meminggirkan golongan itu untuk mendapat tempat dalam kelompok sosial mahupun ekonomi. Lantaran itu, masalah dadah akan menjadi semakin serius jika kite tidak memberi peluang kepada penagih untuk kembali ke jalan yang betul. Persepsi masyarakat terhadap penagih juga perlu diubah kerana mereka bukanlah penjenayah, tetapi pesakit yang perlu diberikan rawatan. Memang besar mereka melakukan kesilapan pada peringkat awal kerana terjerumus dengan penagihan dadah. Tegasnya, sikap yang positif daripada masyarakat amat diperlukan bagi memastikan golongan ini dapat dibimbing agar dapat memperbaik cara hidup mereka.
Di samping itu, institusi keluarga juga memastkan peranan amat penting dalam menangani masalah ini. Ibu bapa merupakan orang yang bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak mereka supaya tidak terjebak ke lembah yang hina ini. Gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini agar seluruh anggota masyarakat memperkasa institusi kekeluargaan harus disahut dengan penuh muhasabah. Tanpa kekuatan dan kesungguhan untuk membina komuniti terpenting ini, pasti usaha mereformasikan bangsa akan gagal.
Dadah dan jenayah masih menjadi dua musuh tegar yang sering mengancam kesejahteraan institusi kekeluargaan. Setiap ahli keluarga perlu sentiasa peka terhadap tindak-tanduk anggota keluarga sendiri agar tidak-sesekali membuka ruang kepada dua musuh tersebut menyelinap masuk dalam kehidupan berkeluarga. Dadah ialah satu masalah sosial yang dihadapi oleh pelbagai kaum.
Selain kerajaan, peranan besar ibu bapa yang berfungsi sebagai tapak pembentukan peribadi den sahsiah diri perlu lebih diperkasakan. Kita kerap mendengar kisah anak-anak yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah disebabkan perceraian ibu bapa, derita anak yang ketandusan kasih sayang keluarga, di samping pengaruh rakansebaya.Punahnya ikatan kekeluargaan telah menjadi penyumbang kepada tercetusnya banyak gejala sosial dalam kalangan anak muda. Justeru, peranan institusi kekeluargaan masih terus berada di puncaknya.
Sekolah ialah tempat yang paling sesuai untuk menggerakkan kempen membenci dadah dan cara paling berkesan ialah memfokuskan kepada pelajar yang disyaki atau cenderung untuk terlibat. Dalam usia tahap rebung ini, lebih mudah untuk mengembalikan mereka ke pangkal jalan melalui kaedah kaunseling, dan sebagainya. Walau bagaimanapun dalam usaha itu, masalah utama pentadbiran sekolah ialah mengesan pelajar yang menagih dadah sebelum tindakan susulan lainnya dapat dilakukan. Kaedah ujian air kencing tidak dapat dilakukan secara menyeluruh, tetapi hanya secara rawak menyebabkan ada pelajar terlibat terlepas, serta terus dibiarkan mempengaruhi rakan-¬rakan sebaya lainnya. Tetapi, melalui bantuan teknologi, iaitu mesin pengimbas mata canggih yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran, masalah mengesan pelajar yang menagih dadah menjadi lebih mudah. Justeru, mesin berharga RM200,000 yang beroperasi secar bergerak ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memastikan setiap sekolah bebas daripada pengaruh dadah.
Begitu pun teknologi sahaja tidak mencukupi jika semua pihak khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak mengambil langkah proaktif. Usaha pencegahan dan pemulihan di peringkat sekolah tentunya dapat dijalankan dengan lebih agresif lagi jika dilakukan secara bersepadu. Janganlah hanya tertumpu kepada usaha ke arah kecemerlangan semata-mata sehingga mengabaikan masalah sosial dalam kalangan pelajar khususnya penagihan dadah.
Secara tuntas, ancaman dadah di negara ini semakih menggawatkan dan menimbulkan pelbagai permasalahan sosial yang kronik. Fenomena ini merupakan satu ancaman besar kepada negara sekiranya langkah menanganinya tidak diambil segera. Jika tidak, hasrat melihat negara bebas daripada ancaman dadah yang juga musuh nombor satu negara menjelang tahun 2015, mungkin tidak kesampaian. Justeru, keadaan itu menuntut satu gerakan pembasmian yang lebih berfokus, tersusun, jitu, dan menyeluruh tanpa bergantung kepada usaha kerajaan bagi menanganinya. Diharap semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta, dan pihak sekolah tampil bersama-same kerajaan menggembleng tenaga membanteras gejala tersebut.
-nur fitriah aliah

No comments:

Post a Comment