Monday 25 April 2011

Punca-punca dan Langkah Mengatasi Kemalangan Jalan Raya

Punca-punca dan langkah mengatasi kemalangan jalan raya
Assalamualaikum. Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang berbahagia Tuan Pegawai Daerah Kubang Pasu, pegawai polis trafik, dan hadirin yang dihormati sekalian. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan ceramah dalam majlis ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
         Kes kemalangan jalan raya menjelang hari raya semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Pada tahun-tahun lepas kadar kemalangan jalan raya pada musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri tidak sebanyak pada tahun lepas. Terdapat banyak punca yang menyebabkan berlakunya peningkatan kes kemalangan jalan raya di negara kita.
Antara punca utama kemalangan itu ialah kebanyakan pemandu tidak mempunyai lesen memandu. Sesetengah pemandu juga menggunakan lesen memandu yang palsu. Oleh itu, apabila tidak memiliki lesen yang sah, maka pemandu tersebut sudah semestinya tidak cekap dan tidak biasa memandu kenderaan. Hal ini akan mengakibatkan kemalangan. Setiap pemandu harus mempunyai lesen kenderaan kerana sebelum seseorang itu memperoleh lesen memandu, mereka telah didedahkan dengan teknik pemanduan yang betul. Malah apabila mereka lulus ujian pemanduan barulah mereka dianggap layak memandu kenderaan. Oleh itu seseorang yang masih tidak mempunyai lesen memandu dinasihatkan agar tidak memandu kenderaan di jalan raya.
          Selain itu, kebanyakan kes kemalangan jalan raya juga berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan itu sendiri. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mengantuk. Biasanya keadaan mengantuk ini berlaku ketika tengah hari dan sebelah malam. Mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk besar kemungkinan terlelap seketika semasa memandu. Seterusnya mengakibatkan kenderaan mereka terbabas ataupun melanggar kenderaan lain pada arah yang bertentangan. Saya amat berharap agar para pemandu memastikan mereka tidak mengantuk semasa memandu kenderaan mereka. Sekiranya pemandu mengantuk mereka dinasihatkan supaya berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan.
          Kita  seharusnya memandu kenderaan yang sempurna sifatnya. Sebelum memandu kenderaan, kita mesti memeriksa kenderaan kita supaya selamat untuk dipandu. Contohnya, keadaan minyak hitam, brek, bateri, air, dan lampu berada dalam keadaan baik. Terdapat pemandu yang tidak menghiraukan masalah ini. Mereka mengabaikan kesempurnaan kereta mereka. Contohnya, mereka tidak mengganti tayar yang haus. Apabila tayar kita sudah haus, sudah tentu daya cengkaman kenderaan itu akan berkurangan. Hal ini lebih membahayakan ketika hujan kerana sewaktu hujan, cengkaman tayar dengan jalan raya semakin berkurangan. Jelas di sini, tayar yang haus boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
         Bagi mengatasi masalah ini, pihak polis trafik telah mengadakan pelbagai usaha bagi mengurangkan lagi kadar kemalangan jalan raya. Usaha yang dilakukan nampaknya masih kurang berkesan .Pasukan polis trafik bertugas selama 24 jam di sekitar jalan raya utama di negara ini. Mereka akan memastikan agar pemandu tidak membawa kenderaan mereka dengan laju atau secara berbahaya. Jika para pemandu memandu kenderaan mereka dengan laju, mereka boleh disaman ataupun kenderaan mereka boleh ditahan. Banyak saman telah dikeluarkan oleh pasukan polis trafik melalui cara sebegini terutamanya di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan di Johor Bahru.
          Jelaslah bahawa kemalangan jalan raya sebenarnya berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri. Seandainya pemandu itu berhati-hati ketika memandu maka kemalangan jalan raya dapat dikurangkan. Tetapi seandainya pemandu itu masih lagi berdegil dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya justeru kadar kemalangan ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Oleh itu saya berharap agar setiap yang hadir ini menyedari pentingnya kita berhemah semasa memandu di jalan raya. Saya juga berharap perkara ini dapat disebarkan kepada orang lain yang tidak menghadiri majlis ini.
Sebelum saya mengundurkan diri besarlah harapan saya agar kemalangan jalan
raya di negara ini dapat dikurangkan. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment